KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dari Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Negeri Sembilan mengemukakan notis mengegsa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Khas diadakan bagi melaksanakan pemilihan.

Pengerusi GPMS Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata, notis tersebut ditandatangani setelah lima buah negeri sepakat menyatakan pendirian tersebut kepada pucuk pimpinan

"Kami berpendirian dari lima buah negeri arahan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) untuk mengadakan pemilihan dalam tempoh 30 hari itu adalah sesuatu yang bersifatkan mengikat dan perlu diikuti. Adalah satu perkara yang kurang cermat bagi GPMS kebangsaan atau mana-mana pihak yang melihat keputusan ini mempunyai ruang untuk persoal dan dipertikaikan.

"Maka di sini hari ini kami ambil ketetapan, kami telah membuat ketetapan bersepakat kami (lima buah negeri) guna hak dalam perlembagaan untuk menandatangani satu notis menggesa perhimpunan agung tahunan khas bagi tujuan pelaksanaan permilihan sebagai mematuhi arahan ROY.

"Ia adalah untuk mengelakkan sebarang bentuk implikasi sebagai GPMS antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang paling tua dalam sejarah aktivisme belia dan pendidikan Malaysia tidak berakhir dengan sebarang bentuk pengharaman atau penggantungan," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Mohd Hidayat menegaskan, adalah tidak wajar untuk mengingkar arahan ROY hanya kerana kekhilafan dan sikap pihak tertentu yang mahu kekal meneraju GPMS lebih lama.

"Pemilihan yang dalam sebuah gabungan sepatutnya membuktikan demokrasi yang diamalkan," jelasnya.

Menurutnya lagi, pemilihan bukan bererti berlaku pertukaran kepimpinan sebaliknya mengetengahkan demokrasi.

Sementara itu tambah beliau, berdasarkan perlembagaan notis tersebut, ia perlu dijawab dalam tempoh 14 hari.

Dalam pada itu, Mohd Hidayat menafikan beliau menggunakan kapasitinya sebagai Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor untuk memberi tekanan kepada badan kerajaan bagi mendesak GPMS melaksanakan pemilihan.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat untuk menafikan dakwaan yang disebarkan menerusi hebahan aplikasi Whatsapp.

Sebelum ini, Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, gabungan itu bersedia untuk mengadakan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi pada tahun ini sekiranya ROY menolak permohonan badan itu melaksanakan proses tersebut tahun depan.

Katanya, pemilihan itu adalah tiga tahun sekali seperti mana termaktub dalam perlembagaan.