Usaha ini harus didokong kuat oleh semua rakyat Malaysia khususnya aktivis NGO kerana Malaysia dilihat seolah-olah bersendirian namun terkehadapan di rantau ini bagi membela nasib rakyat Palestin yang ditindas sejak sekian lama. Malaysia turut juga aktif dan dikenali menjadi jurucakap yang lantang bagi membela Palestin di peringkat antarabangsa dan sentiasa menggesa agar genosid segera dihentikan serta penjenayah perang Netanyahu diheret ke muka pengadilan.
Isu Palestin wajar dijadikan punca utama untuk rakyat Malaysia bersatu dengan memfokuskan tenaga, idea, masa dan dana yang ada untuk terus membantu dan membela mereka yang tertindas dan dizalimi. Malaysia di bawah kepimpinan Anwar mampu menjadi jurubicara kemanusiaan berkesan jika diberikan dokongan tidak berbelah bagi oleh rakyat Malaysia. Bukan sahaja Palestin mampu dibela secara berkesan malahan pelbagai isu-isu kemanusiaan global. Justeru, GPM menilai sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia bersatu dan fokus menjadikan Malaysia sebagai kuasa ‘middle power’ yang memimpin keadilan dan keamanan sejagat.
GPM di dalam masa yang sama terus komited menyalurkan bantuan berterusan yang diuruskan oleh Pengurus Besar GPM di Gaza, Dr Tareq al-Talmas dan mendokong koordinasi usaha kemanusiaan bersama Ops Ihsan. Kita harus sama-sama memastikan perang dihentikan serta-merta dan usaha membangunkan semula Palestin yang merdeka dan berdaulat harus segera dimulakan.
Dr Jufitri Joha
Pengerusi
Global Peace Mission (GPM) Malaysia