KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta.

Memetik laporan New Straits Times, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu dipercayai sedang mendapatkan rawatan akibat jangkitan paru-paru.

“Ya. Dia kini berada di Unit Rawatan Rapi,” kata sumber berkenaan menerusi WhatsApp, seperti dilapor akhbar bahasa Inggeris itu hari ini.

Bagaimanapun, sumber berkenaan enggan mengulas lanjut keadaan kesihatan Sri Ram.

Sementara itu, Malaysiakini pula melaporkan sumber yang enggan mendedahkan identiti menafikan dakwaan bahawa Sri Ram dijangkiti COVID-19.

Sri Ram yang berusia 79 tahun merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga merupakan pendakwa utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta.

Astro AWANI masih menunggu pengesahan dan perkembangan terkini berhubung perkara ini.