Ringkasan AI
- Mahkamah Majistret membenarkan reman tujuh individu selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes GISB.
- Siasatan dijalankan mengikut beberapa akta termasuk Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
- Polis telah melakukan serbuan terhadap 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISB pada 11 September, mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak.
Perintah reman yang bermula hari ini ke atas kesemua mereka yang berusia 18 hingga 55 tahun itu, dikeluarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid.
Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili semua individu berkenaan berkata siasatan terhadap anak guamnya antara lain dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Beliau berkata kesemua mereka, dipercayai empat isteri pemimpin kanan GISB dengan seorang daripadanya warga asing serta dua wanita dan seorang lelaki, ditahan di sekitar Rawang, malam tadi.
Terdahulu, kesemua individu berkenaan tiba di pekarangan mahkamah pada 9.30 pagi dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini turut melanjutkan tempoh reman antara empat hingga tujuh hari terhadap 10 individu lain, bagi membantu siasatan berkaitan GISB.
Peguam Shalehuddin Salam yang mewakili individu tersebut berkata mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 53 tahun itu, sebelum ini telah direman seminggu dan reman berkenaan tamat hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
Difahamkan kesemua mereka ditahan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.
Pada 11 Sept, polis menerusi Op Global telah melakukan serbuan terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISB.
-- BERNAMA