KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan terdapat sebarang elemen jihad militan yang cuba diserapkan kepada kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikendalikan oleh GISB Holdings Sdn Bhd.


Ringkasan AI
  • Siasatan Elemen Jihad Militan: PDRM sedang menyiasat kemungkinan elemen jihad militan diserapkan kepada kanak-kanak di rumah amal GISB Holdings melalui tayangan video berunsur militan.
  • Penayangan Video Militan: Ketua Polis Negara mengesahkan kanak-kanak tersebut ditayangkan video berkaitan pemimpin mereka, Abuya, sepanjang berada di rumah amal tersebut.
  • Maklumat dari PDRM: Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor menyatakan bahawa maklumat mengenai penerapan elemen jihad militan diperoleh daripada PDRM dan dilakukan melalui tayangan video semasa masa lapang kanak-kanak.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya kini sedang menyiasat dakwaan bahawa kanak-kanak berkenaan ditayangkan video berunsur militan ketika mereka berada di rumah amal berkenaan.

"Siasatan kini menjurus ke arah itu (penayangan video militan) walaupun sepanjang siasatan dan sidang media, saya tidak menyentuh isu berkenaan.

"Tetapi kanak-kanak ini memang ada ditayangkan video berkaitan pemimpin mereka iaitu Abuya sepanjang mereka berada di rumah amal terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika berucap di Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 di Klang berkata fahaman jihad militan dipercayai diserapkan ke dalam diri kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal berkenaan.

Beliau berkata penerapan elemen itu dilakukan melalui tayangan video ketika masa lapang kanak-kanak berkenaan.

Menurut Mohammad Fahmi, maklumat itu diperoleh daripada pihak PDRM.

-- BERNAMA