Menteri berkenaan Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata ia bagi memastikan IPT bebas daripada sebarang bentuk dakyah dibawa GISB.
"Perkara ini adalah dalam bidang kuasa polis yang telah bentuk satu pasukan khas bagi melaksanakan tanggungjawab telah diberikan.
"Ia (siasatan) akan melibatkan semua, tak kira sama ada dia pelajar atau pensyarah universiti. Bermakna, tindakan yang diambil adalah secara menyeluruh," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kementerian sekiranya terdapat pensyarah dan pelajar yang terlibat dengan GISB.
Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini berkata jumlah terkini tangkapan berkaitan serbuan ke atas GISB adalah seramai 200 orang.
-- BERNAMA