Generasi muda wajar diberi peluang bagi membolehkan mereka menonjolkan keupayaan dan sifat mahu bersaing secara sihat bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di pentas global.

Bekas Setiausaha Agung ASEAN, Tan Sri Dr Surin Pitsuwan berkata, perkara itu boleh dilaksanakan melalui pengamalan tadbir urus yang berintegriti.

"Mereka (generasi muda) ingin hidup dalam keadaan atau situasi yang adil agar mereka dapat membuktikan keupayaan masing-masing.

"Dengan peluang yang diberikan ini, mereka mampu mencapai kecemerlangan, berkualiti serta boleh bersaing dengan masyarakat dunia," katanya dalam ucaptama sempena Dialog Integriti ASEAN 2017 (AID 2017) di Institut Integriti Malaysia pada Khamis.

Tambah Dr Surin, masyarakat di negara-negara ASEAN tidak mempunyai sebarang kekangan untuk mengamalkan nilai-nilai sejagat seperti integriti memandangkan perkara itu sudah wujud dalam agama, adat serta budaya mereka.

"Pengamalan tadbir urus yang berintegriti adalah penting dalam usaha negara-negara ASEAN untuk maju ke hadapan," kata beliau.

Fokus utama AID 2017 adalah untuk menghayati nilai-nilai sejagat seperti agama, perilaku dan budaya yang penting dalam memastikan pengamalan tadbir urus berintegriti.

Forum itu juga menghimpunkan barisan panel dari rantau ASEAN yang membincangkan keberkesanan instrumen atau kaedah yang digunakan setiap negara untuk memperbaiki tadbir urus.