Maklum Exconya Norazam Abu Samah, rumah kontena tersebut dijangka siap dalam tempoh sebulan untuk menempatkan lebih 200,000 mangsa gempa dari khemah penempatan sementara.
Sehubungan itu, Mercy Malaysia akan terus berada di Turkiye selama sebulan lagi khusus untuk mengenal pasti bentuk program yang boleh dibuat bagi menampung keperluan-keperluan semasa, terutama di fasa pemulihan awal ini.
“Inilah alternatif yang terbaik dan kami pun sempat berbincang dengan wakil daripada AFAD di mana mereka berusaha untuk dalam tempoh sebulan akan selesaikan ribuan rumah kontena supaya mangsa boleh terus duduk di dalam rumah tersebut.
“Keperluan-keperluan yang kita akan lihat adalah, baik dari segi kesihatan atau menyokong dan menyumbang rumah-rumah kontena ini, supaya ada perkampungan yang boleh kami kenal pasti dan lihat bagaimana kita boleh bangunkan semula kehidupan mereka,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Bukan sekadar keperluan asas kebendaan, Mercy Malaysia juga akan membantu dalam aspek pemulihan trauma menerusi program psikososial dan kefahaman tentang pengurusan dan persediaan mendepani bencana di masa hadapan.
Matlamatnya adalah supaya masyarakat yang terlibat dapat lebih berdaya tahan dan punyai semangat untuk bangkit segera daripada musibah ini, tambah Norazam.