SHAH ALAM: Seorang pemuda berkongsi pengalaman pertama apabila menemui gelang emas sewaktu melakukan kerja pembersihan tangki septik di sebuah kediaman di Dungun, Terengganu.

Pencipta kandungan, Muhamad Sukri Sulaiman, 29, berkata, gelang emas seberat 19.53 gram itu dipercayai milik penghuni rumah terdahulu yang sudah lama meninggalkan kediaman berkenaan.

"Saya baru saja beli rumah ini, memang rumah lama. Banyak kerosakan terutamanya di bahagian tangki kerana tersumbat. Jadi, saya mula melakukan kerja pembersihan sendiri dan hari ini merupakan hari ke empat.

"Ketika saya sedang mencangkul najis dalam tangki, saya ternampak emas. Saya yakin itu emas sebab warnanya tidak luntur dan apabila sudah dibasuh tertera nombor 916 pada gelang tersebut. Tanpa berfikir panjang terus saya muat naik di Facebook untuk mencari pemiliknya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sukri memaklumkan, pemilik barang berkenaan sudah menghubunginya dan akan bertemu dalam masa terdekat.

Ujarnya, individu berkenaan mendakwa emas tersebut hilang 20 tahun lalu sewaktu masih mendiami rumah tersebut.

"Kalau saya tak jumpa siapa pemiliknya pun, saya tak akan ambil. Saya mungkin akan serahkan kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Tapi sebelum itu, saya akan manfaatkan kelebihan yang ada iaitu menguar-uarkan di Facebook terlebih dahulu memandangkan jumlah pengikut saya agak tinggi. Jadi dari situ, mungkin orang ramai boleh bantu sebarkan sehingga jumpa pemilik asal gelang itu," jelasnya.

Tambah Sukri, walaupun barangan tersebut mempunyai nilai yang tinggi tetapi dia tidak akan simpan dan guna untuk kepentingan diri kerana ia bukan miliknya.

Menurutnya, sebagai umat Islam dia sentiasa memegang prinsip bahawa ALLAH memerhati setiap pergerakan dan perbuatan hamba-Nya.

"Jadi tidak perlu untuk kita ambil barang yang bukan hak kita, walaupun orang tak nampak tapi ALLAH nampak. Tambahan pula, kalau saya ambil gelang itu, saya hanya untung sekejap sahaja di dunia dan akan terima balasan di akhirat," ujar Sukri. - Sinar Harian