KEPALA BATAS: Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan berkaitan insiden pergaduhan dipercayai kerana berebut petak letak kenderaan di sebuah pasar raya di sini.


Ringkasan AI
  • Polis menahan dua wanita berusia 25 dan 38 tahun untuk membantu siasatan berkaitan insiden pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada berebut tempat parkir di sebuah pasar raya.
  • Wanita-wanita tersebut disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
  • Polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata masing-masing yang berusia 25 dan 38 tahun ditahan di lokasi berasingan di daerah itu semalam.

"Pihak polis menerima laporan daripada kedua-dua wanita itu pada Isnin dan Selasa lepas. Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perasaan tidak berpuas hati ketika merebut tempat parkir kenderaan.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mewujudkan apa-apa komen dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengugut atau mengganggu orang lain.

Anuar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyahirah Sarahani melalui talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan dua wanita bergaduh sambil mengeluarkan kata-kata kesat dipercayai berpunca daripada berebut parkir di sebuah pasar raya.

-- BERNAMA