PUTRAJAYA: FLORIA Diraja Putrajaya (FRP2024) kembali lagi tahun ini dengan lebih gemilang, membawa keharuman ribuan bunga-bungaan dan memukau para pengunjung dari serata dunia.

Berlangsung dari 22 Ogos hingga 1 September 2024, festival bunga-bungaan dan taman yang diadakan di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya ini menjadi acara dwitahunan yang paling dinantikan oleh pencinta alam dan landskap.

Dengan tema “Raikan Bersama! Celebrate Together!”, FLORIA kali ini menjanjikan paparan estetik yang luar biasa, menampilkan pelbagai jenis bunga yang diatur dalam taman-taman berkonsep unik.

Naib Presiden (Landskap dan Taman) Perbadanan Putrajaya, LAr. Haslinda Khalid, menyatakan, FRP bukan hanya sekadar pameran bunga-bungaan tetapi berusaha sebaik mungkin mencipta kenangan terindah buat seisi keluarga.

“Tema ini dipilih untuk mencipta semangat positif dan mendorong keinginan untuk turut serta kepada semua pengunjung yang datang ke RFP2024.

“Ia mengajak semua orang untuk merayakan momen-momen bahagia bersama keluarga dan sahabat handai, menciptakan suasana yang positif, penuh semangat serta ceria,” katanya.

Bagi penganjuran kali ini, RFP2024 mengangkat bunga Petunia yang terkenal dalam kalangan pecinta tanaman hiasan sebagai bunga tema acara kerana kepelbagaian warna dan keindahan rupa bentuknya.

Ia dipilih kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan suasana tapak pameran untuk para pengunjung menikmatinya. 

Selain pameran bunga-bungaan, pengunjung juga boleh menikmati lebih 100 aktiviti sampingan termasuk bengkel, zumba larian, dan lain-lain aktiviti mesra keluarga yang disediakan sepanjang festival ini.

FLORIA Diraja Putrajaya sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mempromosikan keindahan landskap Malaysia di persada antarabangsa kerana ia merupakan satu-satunya Festival Bunga-Bungaan dan Taman bertaraf antarabangsa yang mendapat pengiktirafan Diraja di Malaysia.

Setanding dengan RHS Chelsea Flower Show di London, Royal FLORIA Putrajaya adalah salah satu acara yang berprestij dalam industri pelancongan Malaysia dan disenaraikan sebagai salah satu acara utama dalam Kalendar Acara Tahunan Malaysia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selari dengan status Diraja, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan merasmikan RFP edisi kali ini pada hari pertama pembukaannya iaitu 22 Ogos 2024, jam 10.00 pagi di Pentas Utama RFP2024

RFP telah dianjurkan sejak tahun 2007 dan tahun ini adalah merupakan penganjuran kali ke-13 sejak kali terakhir diadakan pada tahun 2022 yang lalu.

Bagi memastikan acara ini diadadakan dengan standard tertinggi, bayaran tiket akan dikenakan kepada pengunjung dan maklumat lanjut oleh didapati di https://floria.putrajaya.my.