JAKARTA: Ribuan mahasiswa yang berdemonstrasi di depan Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia belum mencapai kesepakatan dengan pihak polis, malah telah menerjah masuk salah satu pintu pagar di hadapan kompleks DPR yang menghadap ke Jalan Gatot Subroto, di Jakarta.

Menurut portal berita Kompas.com, terjadi ketegangan dengan pasukan polis yang berada di pintu itu, termasuk lemparan objek ke petugas keselamatan, namun jalan masuk para mahasiswa ke halaman Kompleks Parlimen itu dapat dikawal.

Gas pemedih mata juga digunakan oleh pasukan polis dalam mengawal situasi yang lebih mendesak.

Kumpulan mahasiswa berkenaan bertegas untuk tidak mahu meninggalkan kawasan padang di kompleks itu kerana DPR belum menyatakan bakal menghentikan proses pengesahan pindaan Undang-Undang (UU) Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada).

“Prosesnya cuma ditunda, bukan dibatalkan,” jerit para peserta protes kepada penyelaras lapangan yang membantu rundingan dengan pihak polis.

Pada masa ini, peserta protes difahamkan semakin bertambah dan belum dapat disuraikan.

Kompas.com melaporkan, Wakil Ketua DPR RI Sufmi Dasco Ahmad menyatakan, sidang untuk mengesahkan pindaan UU Pilkada tidak mencapai kuorum kerana anggota dewan yang hadir tidak memenuhi ketentuan.

Tambahnya, proses pengesahan itu mesti ditunda, namun tidak pula dapat memastikan bila proses itu akan disambung semula.

"Ya, kalau sidang hari ini kita tunda, kita ada mekanisme. Nanti kan harus diadakan rapat pimpinan lagi, dan malalui Badan Permusyawaratan Negeri lagi," memetik kata Dasco di Kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta, pada Khamis.

Pindaan UU Pilkada mencetus protes karena dianggap melawan putusan Mahkamah Konstitusi (MK), dan hanya disusun untuk kepentingan golongan tertentu.


BACA: 'Ini bukan negara milik keluarga tertentu' - Aktor Indonesia Reza Rahadian ikut protes jalanan


Tunjuk perasaan itu adalah berhubung keputusan MK pada Selasa lalu berkenaan had umur calon Pilkada yang menurutnya telah cuba diubah dengan 'usaha' anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). 

Indonesia pada akhir-akhir ini 'panas' dengan beberapa episod keputusan dan tindakan peringkat tertinggi yang disifatkan menyebelahi keluarga dinasti politik tertentu dan golongan elit yang berkepentingan. 

Demonstrasi yang dilangsungkan itu bukan hanya terjadi di depan Kompleks Parlimen Jakarta, malah kemarahan rakyat yang menular menyaksikan tunjuk perasaan seumpamanya turut diadakan di beberapa bandar utama lain di seluruh republik itu.

Sejak semalam, laman media sosial Indonesia dipenuhi hantaran berupa imej poster jata negara republik itu, iaitu lambang Garuda dengan latar biru, serta tulisan 'Peringatan Darurat'. Ia merupakan simbol kemarahan rakyat untuk menunjukkan bahawa sistem demokrasi republik itu sedang tenat, lantaran dengan sewenang-wenangnya dimanipulasi pihak tertentu demi mengekalkan pengaruh serta kuasa.