Ringkasan AI
- Saman Fitnah RM10 Juta: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, memfailkan saman RM10 juta terhadap GISB Holdings Sdn Bhd atas dakwaan memfitnahnya dalam sidang media dan di media sosial.
- Tuntutan Permohonan Maaf: Mohd Asri menuntut GISB untuk memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari dan menerbitkan permohonan maaf tersebut di pelbagai media.
- Pemadaman Pernyataan Fitnah: Mohd Asri juga memohon agar GISB memadam semua pernyataan fitnah dari laman sesawang dan media sosial mereka.
Dalam pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, Mohd Asri mendakwa defendan pertama (GISB) telah menerbitkan pernyataan fitnah terhadap beliau melalui satu hantaran yang dibuat di akaun Facebook rasmi defendan pertama atas nama "GISB Holdings Sdn Bhd" beserta sebuah poster untuk tontonan umum.
Plaintif mendakwa sidang media yang diadakan pada 29 Ogos lepas antara lain membawa maksud bahawa plaintif telah memfitnah GISB dan menyebarkan pernyataan palsu selain menimbulkan persepsi buruk mengenai syarikat berkenaan.
Selain itu Mohd Asri juga mendakwa defendan pertama telah memfitnahnya dengan menghantar satu notis tuntutan bertarikh 24 Ogos lepas, menuntut beliau mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari bagi membersihkan nama GISB.
Plaintif mendakwa notis tuntutan itu antaranya membawa maksud beliau telah menuduh defendan pertama tanpa usul periksa dan membuat dakwaan palsu terhadap GISB.
Beliau berkata hantaran-hantaran fitnah itu telah mengaibkan, menjatuhkan maruah dan imej beliau sebagai seorang mufti, ahli akademik serta pendakwah di Malaysia, dan beliau memohon defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah di samping ganti rugi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mohd Asri juga memohon supaya defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, News Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.
Beliau turut memohon defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah itu daripada semua laman sesawang dan media sosial termasuk Facebook, Twitter, Blogspot, TikTok dan Instagram di bawah kawalan defendan.
Pada 10 Okt lepas, Mohd Asri menyaman seorang pemilik akaun Facebook atas dakwaan menerbitkan beberapa pernyataan fitnah yang mengaitkannya dengan GISB.
-- BERNAMA