KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,400 anggota polis ditugaskan pada perlawanan akhir bola sepak Piala FA membabitkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengingatkan penoton yang dijangka mencecah 85,000 orang itu supaya menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan kekecohan.

"Pemeriksaan akan dilakukan sebelum dan selepas memasuki stadium iaitu pemeriksaan badan dan beg bagi mengelakkan barangan terlarang dibawa masuk.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat penyokong dan penonton perlawanan yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata barangan larangan seperti mercun, bunga api atau suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, dadah, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank, botol air, ketulan ais, pemetik api, rokok atau rokok elektronik, dron, pembesar suara, wisel dan gendang tidak boleh dibawa masuk ke dalam stadium.



POLIS-PIALA FA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Lencongan dan penutupan jalan dilakukan seawal 9 pagi jika terdapat keperluan bagi membolehkan pengawalan aliran trafik bagi mengelakkan kesesakan kerana jumlah parkir yang tersedia di sekitar stadium adalah terhad sebanyak 4,968 lot sahaja.

Beliau berkata lencongan dan penutupan jalan membabitkan susur Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke lampu isyarat SUKOM, lencong ke Awan Kecil atau Awan Besar.

Jalan lampu isyarat SUKOM ke arah Jalan Merah Cagar, lencong ke Awan Kecil atau Awan Besar; susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya KESAS, lencong ke Jalan Radin dan Sri Petaling; susur ke Jalan Barat dari Jalan Radin, lencong ke Shah Alam; susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya KESAS, lencong ke Jalan Radin dan Sri Petaling; Puchong Link susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda, lencong ke Kinrara dan susur Puchong Link ke Jalan Barat dari arah Kinrara, lencong ke Bulatan Kuda.

"Polis turut menggalakkan penonton menggunakan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Ringan (LRT)," katanya.

Beliau turut mengingatkan penonton supaya masuk ke stadium mengikut pintu yang tertera pada tiket bagi melancarkan kawalan keselamatan selain menempatkan anggota di stesen LRT Bukit Jalil.

-- BERNAMA