Presiden Filipina, Rodrigo Duterte meminta agar Malaysia terus memainkan peranan sebagai orang tengah ke arah memuktamadkan proses damai selatan negara itu.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hasrat pentadbiran Manila itu dinyatakan semasa lawatan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom ke negara itu Khamis lalu.

Tambahnya, langkah itu penting bagi mengelak Mindanao menjadi kawasan tumpuan serpihan pengganas untuk membina tapak sekali gus menjejaskan kestabilan serantau.

"Filipina dan MILF minta kita terus memimpin dalam proses damai di Mindano bersama-sama dengan Brunei, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan bahawa selatan Filipina ini tidak menjadi satu hotspot yang berpotensi untuk pengganas bertapak," kata Hishammuddin selepas merasmikan Sekolah Agama Bukit Palong, di sini, pagi tadi.