IPOH: Fenomena air pasang besar dijangka akan berlaku dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober depan, berdasarkan ramalan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab,

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak memaklumkan, bagi tempoh itu, paras air tertinggi diramalkan antara 3.1 meter hingga 3.4 meter.

Menurutnya, kejadian fenomena air pasang besar kali ini dijangka pada skala yang lebih besar berbanding bulan September yang lalu.

“Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku secara serentak lalu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook.


Katanya lagi, kawasan-kawasan yang berisiko tinggi adalah di Taman Karentina, Batak Rabit, Pekan Teluk Intan, Kampung Bahagia, Changkat Jong, kawasan Mukim Sungai Durian dan kawasan yang berdekatan dengan sungai.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku secara serentak.

Orang ramai juga perlu bersedia untuk berpindah ke tempat yang selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.