Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis memaklumkan perkara itu ketika dihubungi pada pagi Isnin.
"Keadaan masih terkawal (di Pelabuhan Klang dan Selangor)," katanya menerusi mesej pesanan ringkas di WhatsApp.
Tinjauan di Pelabuhan Klang dan beberapa kampung di sekitar pelabuhan mendapati air dilihat sedikit tinggi pada jam 7.15 pagi hingga ke 7.45 pagi.
Begitupun, air dilihat semakin surut bermula jam 9 pagi tadi.
Berdasarkan perkongsian gambar daripada JBPM Selangor, beberapa kawasan dilihat dinaiki air seperti di Tanjung Karang, Telok Panglima Garang dan Sungai Pinang.
Namun setakat ini tiada rumah dilaporkan terjejas akibat fenomena tersebut.
Baru-baru ini media melaporkan, penduduk daerah Klang disarankan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka mulai September hingga Disember ini yang boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.
Ramalan bulan ini, paras air laut tertinggi di Stesen Pelabuhan Klang dijangka pada 12 September, iaitu 5.5m pada jam 7.18 pagi, manakala pada 11, 13 dan 28 September pula paras 5.4m.
BACA: Air pasang: Paras air laut dijangka 5.5 meter esok
Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, fenomena itu boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.
Penduduk juga dinasihatkan bersedia dengan beg khas dengan meletakkan barang seperti dokumen penting, wang tunai, air mineral, kit perubatan, kit kebersihan, tuala, pakaian, telefon bimbit.