PUTRAJAYA: Sempena sambutan Syawal hari ini, seorang wanita warga Arab Saudi, Fatma Saleem berpeluang untuk sama-sama meraikan hari mulia itu dengan mengagihkan manisan kepada jemaah masjid selepas selesai solat Aidilfitri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Berpakaian blaus putih dan berseluar, Fatma yang berusia dalam lingkungan 30-an itu, menyediakan manisan campuran yang diletakkan di dalam bakul terdiri daripada lolipop, jeli dan gula-gula untuk diberikan kepada orang ramai sebagai tanda kegembiraan dan kebahagiaan.

"Di negara saya, adalah menjadi tradisi untuk memberi gula-gula pada Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga dan tetamu.

"Semasa saya beraya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak pernah ketinggalan untuk mengagihkan gula-gula setiap kali sambutan Aidilfitri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Fatma yang menetap di Serdang sejak 12 tahun lepas bersama suaminya, berkata mengamalkan budaya itu dapat membuatkan dia berasa seperti berada di rumah dan gembira apabila menerima mesej penghargaan daripada komuniti.

Baru sahaja menamatkan pengajian dari Universiti Putra Malaysia, Serdang, Fatma berkata lokasi kegemarannya untuk mengagihkan gula-gula itu ialah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di sini.

-- BERNAMA