Kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi di kilometer 284.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) .
Ketika kejadian, keluarga terbabit dalam perjalanan dari Gombak menuju ke Bandar Al-Muktafibillah Shah, Dungun, Terengganu.
Pemandu kereta, Muhammad Syazwan Irfan Jamil, 22, berkata dia bersama keluarga dalam perjalanan untuk menjemput adiknya yang menuntut di sebuah sekolah agama di bandar berkenaan.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, beliau ternampak kepulan asap dan api yang marak dari bahagian belakang kenderaan yang dipandunya.
"Dah nampak api tu kelam kabutlah keluar. Perasaan nak buat macam mana, sedih kereta terbakar macam tu. Tiba- tiba sahaja," kata Syazwan.
Keadaan kereta tersebut selepas rentung terbakar - Foto Astro AWANI
Syazwan bagaimanapun bersyukur mereka sekeluarga terselamat dalam kejadian berkenaan.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru, Terengganu mengambil masa sepuluh minit untuk memadamkan kebakaran.
Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bandar Cheneh Baru.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.