IPOH: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bandar Baru Tambun, dekat sini, awal pagi ini.

Remaja berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak perubatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 12.19 pagi tadi.

“Kemalangan melibatkan sebuah motorsikal dengan sebuah MPV yang mengakibatkan seorang penunggang motorsikal telah terperosok di bawah kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.


Menurutnya, anggota bomba menggunakan ‘air lifting bag’ untuk meninggikan kenderaan dan memberi ruang bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (TBK) Suhaimi Nijar tamat jam 1.46 pagi.