Jelas Azlan, dia tidak menyedari ke mana beg tersebut tercampak atau hilang, namun berharap mana-mana individu yang menjumpai, dapat memulangkan semula kepadanya atau isteri, Nur Nilam Ortiz.
“Pada hari kemalangan itu, apa yang tidak kami sedari adalah duit hasil perniagaan hari itu, tidak tahulah tercampak ke mana atau terjatuh di dalam kereta.
“Kepada sesiapa yang terjumpa dan sudi untuk pulangkan, bolehlah hubungi saya atau isteri atau adik angkat saya,” ujarnya dalam video yang dikongsikan adik angkatnya, Jalil Razak menerusi akaun TikTok.
Dalam perkongsian video sama, Jalil sempat berkongsi keadaan terkini Azlan yang masih terlantar di katil hospital.
Malah Jalil juga berharap sesiapa yang menjumpai beg berkenaan agar dipulangkan semula kepadanya, isteri Azlan atau Azlan sendiri.
“Siapa yang terambil beg ketika kemalangan itu berlaku, boleh pulangkan balik tak? Dalam beg itu ada barang-barang niaga..terutama sekali duit,” ujarnya.
Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran, 48, kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, Johor.
Bintang Langgar itu dijangka menjalani satu lagi pembedahan untuk merawat pinggulnya yang patah.
Dalam kejadian Jumaat lalu, kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandu Azlan bertembung dengan lori Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyebabkan aktor itu mengalami kecederaan parah iaitu patah tangan kanan, kedua-dua kaki dan pinggul.
Azlan, isteri dan seorang anak mereka ketika itu dalam perjalanan ke tapak karnival. - Sinar Harian