KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera dilakukan melibatkan siasatan dan laporan berhubung kes Global Ikhwan Service and Business (GISB) Holding yang antaranya melibatkan eksploitasi kanak-kanak.

Perdana Menteri berkata, isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama serta penderaan adalah perkara besar, jika terbukti benar.

Sehubungan itu, Anwar menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan dan tindakan mengikut undang-undang.

"Pihak majlis agama terutama di Wilayah (Persekutuan) dan saya lihat juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

"Ramai tanya kenapa (berlaku) kelewatan, lengah dalam ambil tindakan, jadi saya sudah bawa perkara ini supaya diambil tindakan segera (dalam) siasatan dan laporan," katanya memetik Bernama.

Anwar ditemui ketika selepas menunai solat Jumaat di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra di sini, hari ini.

Pada Rabu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 66 lelaki dan 105 wanita yang bertugas sebagai penjaga, ustaz, dan pengerusi rumah amal berkenaan berusia dalam lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Khamis memaklumkan seramai 171 individu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.