Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tawaran parkir percuma itu membabitkan 14,876 petak parkir di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 5,000 petak parkir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), 3,500 petak parkir Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 11,388 petak parkir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
"Inisiatif Khas Parkir Percuma ini, bersempena Sambutan Hari Malaysia dan Sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung pada musim cuti sekolah, selain kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Tawaran khas parkir percuma ini, simbolik manifestasi penghargaan kerajaan negeri kepada pelancong dan pengunjung, yang dari Januari hingga Julai ini Melaka merekodkan kedatangan lebih 8.7 juta pelancong dan pengunjung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rauf berkata kerajaan negeri terus mengalu-alukan ketibaan pelancong ke Melaka, selain berharap inisiatif tawaran parkir percuma ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan negeri sempena TMM2024.
-- BERNAMA