KUALA LUMPUR: Dokumen Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu menumpukan kepada aspek kesejahteraan rakyat.

Ketua Ekonomi Buruh, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratis, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Prof. Madya Mohd Yusof Saari berkata dokumen itu juga perlu menyentuh isu pertumbuhan dan kemampanan ekonomi secara menyeluruh.

“Jika pelan esok memberi satu hala tuju baharu ekonomi Malaysia, idealnya ia perlu berkisar kepada tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat, dan kemampanan alam sekitar.

“Berkaitan pertumbuhan ekonomi, antara perkara yang perlu terapkan dalam dokumen Ekonomi Madani ini ialah isu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), isu sumber pertumbuhan baharu yang kita perlu cari dan cara untuk menaiktaraf sektor industri kepada bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Yusof menjelaskan bagi hal berkaitan kesejahteraan rakyat pula, kerajaan perlu tumpu kepada menangani kos sara hidup ketika ini, sama ada dengan menggunakan pendekatan bersifat pragmatik atau holistik, atau pendekatan berdasarkan kepada pendapatan atau kawalan harga.

Menyentuh mengenai kemampanan alam sekitar pula, Yusof berkata kerajaan perlu beri perhatian kepada mencari cara memanfaatkan isu alam sekitar sebagai ekonomi hijau sebagai sumber ekonomi baharu kepada ekonomi Malaysia menuju kedepan.

Selain itu, ekonomi negara memerlukan kepada satu pemangkin sama ada teknologi pendigitalan, tadbir urus yang cekap dan fiskal kerajaan yang perlu disertakan dalam dokumen ini.