KUALA LUMPUR: Seorang ejen unit amanah bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), bagi membuat pelaburan RM100 juta dan memalsukan dokumen, tujuh tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang ejen unit amanah bergelar Datuk, Ahmad Azwan Aboo Mansoor, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menipu Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) untuk pelaburan RM100 juta dan memalsukan dokumen pada 2014.
  • Tertuduh menghadapi empat pertuduhan tambahan atas penggunaan dokumen palsu berkaitan pelaburan antara 2017 dan 2018, dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun untuk penipuan dan dua tahun untuk pemalsuan jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan tarikh sebutan semula kes pada 21 Oktober, selepas mempertimbangkan permohonan jaminan rendah atas faktor kesihatan dan masalah kewangan tertuduh.


Datuk Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54, didakwa menipu LPSVN dengan memperdaya agensi itu untuk memasuki Perjanjian Pelaburan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund secara representasi salah, sehingga mendorong lembaga itu menyerahkan cek bernilai RM100 juta yang LPSVN tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LPSVN, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Wangsa Maju, di sini pada 10 Jun 2014, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Azwan turut didakwa atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu, iaitu dua dokumen pembayaran dividen CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund, satu dokumen pengesahan pembayaran zakat untuk pelaburan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund dan satu dokumen CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund-Status.

Keempat-empat kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 9 Jun 2017 dan 22 Mei 2018 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd Nordin memohon jaminan RM100,000 bagi kelima-lima pertuduhan.

Peguam Harjinder Singh Sandhu yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah diisytiharkan bankrap dan hilang punca pendapatan.

"Anak guam mempunyai penyakit darah tinggi dan isterinya menghidap kanser dan tertuduh diperlukan di rumah untuk membantu isteri dalam keadaan genting.

"Harta anak guam iaitu rumah berkembar sedang dalam proses dilelong. Jaminan ditawarkan pendakwaan terlalu tinggi dan saya mohon hanya jaminan RM12,000 dikenakan," kata peguam itu.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 21 Okt untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA