KEMAMAN: 18 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di bandar Chukai di sini, musnah akibat kebakaran pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, turut menyebabkan seorang warga emas Rahmat Noor Rahimullah Khan, 68, dan anaknya, Abdul Karim, 28, melecur pada bahagian kepala dan kaki ketika menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Mohd Hasbullah Halipah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.58 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan seramai 17 anggota.

Setiba di lokasi, pihak bomba mendapati rumah yang diperbuat daripada papan itu sudah terbakar sepenuhnya.

Menurut Hasbullah, ketika kejadian kesemua mangsa berada di dalam rumah dan sebahagian mangsa sedang tidur.

Namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

Menurut Hasbullah, kebakaran berjaya dipadam keseluruhannya dua jam kemudian.

"Kita mengalami kesukaran kerana struktur rumah yang terdiri daripada kayu dan selepas 20 minit kemudian, api berjaya dipadam.

"Terdapat dua mangsa yang melecur ringan," katanya.

Hasbullah berkata, dua mangsa yang cedera dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Punca kejadian serta taksiran kerugian masih dalam siasatan.


Kebakaran | 18 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang