TEMERLOH: Dua maut selepas tersepit manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lanchang-Mentakab di sini pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan treler.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari.

"Lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penyelamat bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian mendapati dua lelaki dewasa iaitu pemandu dan penumpang tersepit dalam Hilux terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Hilux terbabit. - Foto ihsan JBPM

Ujarnya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat.

Jelas Zulfadli, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Terdapat dua lagi penumpang iaitu seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh oleh orang awam.

"Tiga lagi lelaki dewasa yang cedera dihantar ke hospital menaiki ambulan KKM dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," tambahnya.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian