Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang maut masing-masing lelaki dan wanita yang belum diketahui identiti mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.09 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 26 kilometer dari BBP Sandakan.
"Menurut laporan, kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan bertembung dengan sebuah Perodua Axia dan terdapat lima mangsa yang terlibat.
"Tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. Dua mangsa lagi masih tersepit dan segera dikeluarkan oleh anggota kita dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
"Tiga mangsa termasuk seorang daripadanya mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital manakala dua lagi mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.15 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya. -- Sinar Harian