Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, seorang lelaki maut di lokasi kejadian dengan mayat mangsa terkeluar dan berada di atas bumbung kereta Mercedes Benz.
Seorang lagi mangsa wanita terpelanting ke atas jalan selepas dipercayai tercampak keluar dari kenderaan juga disahkan maut.
Nahas itu juga mengakibatkan dua lagi lelaki cedera parah.
Dalam kemalangan itu juga, pemandu Hyundai Matrix pula mengalami kecederaan ringan.
Saksi, yang juga peniaga kedai makan Raja Asmah Raja Jaafar, 42, berkata, dia terdengar dentuman kuat lalu bergegas keluar pergi ke lokasi kejadian yang berlaku 50 meter di hadapan kedainya.
“Saya nampak kereta Mercedes berpusing dalam enam kali sebelum naik ke atas pembahagi jalan.
“Saya tengok seorang mangsa di bahu jalan dan dua lagi di atas jalan, manakala seorang lagi di atas bumbung.
"Semua empat orang saya nampak... dua orang terbaring tidak bergerak manakala mangsa yang di atas jalan mula-mula dia bangun duduk dan lepas itu dia baring semula.
“Mangsa yang di atas bumbung tu memang tak bergerak langsung dah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan II Salim Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 8.53 malam.
"Sebaik tiba di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan kenderaan jenis Mercedes Benz dan Hyundai. Terdapat empat mangsa dengan dua daripadanya disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
"Dua mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dengan ambulans KKM," katanya sebaik selesai operasi.