BALIK PULAU: Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, Pulau Pinang Selasa lalu, ditemui selamat di perairan Acheh, Indonesia.

Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, dikatakan diselamatkan oleh nelayan di Acheh.

Berita penemuan itu disahkan oleh Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi pada pagi Ahad.

Ismail berkata, dia menerima maklumat penemuan anaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran itu kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Saya terima panggilan dari pihak polis berhubung penemuan sebelum dimaklumkan oleh pengerusi kariah masjid.

"Mereka kini dalam keadaan selamat tetapi saya belum dapat berhubung dengan Hakimi namun menerusi gambar yang diterima, keadaannya dilihat baik-baik saja cuma kulitnya agak gelap," katanya.

BACA: Hilang di laut: Operasi SAR cari Muhammad Ikmal, Nor Hasrul dihentikan

Ismail  mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit termasuk rakan nelayan yang membantu dalam operasi pencarian dan penyelamatan (SAR).

Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang menguruskan pengambilan balik kedua-dua mangsa di sempadan.

"Bot Maritim Malaysia dijangka mengambil sedikit masa untuk tiba di sempadan, ssterusnya membawa pulang kedua-dua mangsa, dan mereka dijangka tiba ke Jeti Batu Maung, pada awal pagi esok," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, kira-kira jam 11.30 malam Selasa.

Bagaimanapun, operasi SAR yang masuk hari kelima pada Sabtu dihentikan selepas tidak menemukan sebarang petunjuk.