KUANTAN: Dua orang wanita bermadu sepakat tinggal sebumbung kerana mahu menjaga suami mereka yang terlantar akibat kencing manis tahap empat sehingga kehilangan kaki kiri pada Oktober lalu.

Walaupun kehidupan mereka penuh kesulitan, namun, itu tidak dijadikan alasan buat Noraini Ishak dan Effa Rizam Abd Ghaffar, kedua-duanya berusia 42 tahun untuk menguruskan suami mereka, Maarof Noordin, 58, dengan baik.

Menurut Maarof, pengorbanan kedua-dua isterinya itu sangat dihargai kerana dia sudah lagi tidak mampu untuk bekerja selepas menjalani pembedahan pada Oktober tahun lalu.

Maarof sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) secara sambilan.

"Saya rasa sedih dan hiba jugalah bila mengenangkan nasib, malah isteri kedua banyak berkorban dan dialah yang keluar mencari rezeki untuk kami.

"Manakala isteri pertama pula membantu menguruskan saya di rumah dan saya amat bersyukur kerana kedua mereka memahami keadaan saya ketika ini

"Mereka berdua (kedua-dua isteri) adalah hidup dan mati saya. Mereka jaga sakit dan pening saya,” kata Maarof ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherating Lama, di sini, hari ini.



Noraini yang juga isteri pertama Maarof membantu menguruskannya di rumah, sementara Effa Rizam iaitu isteri kedua keluar mencari rezeki bekerja sebagai tukang kebun sekolah dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Dalam masa sama, Effa Rizam juga melakukan kerja sampingan sebagai anggota Rela untuk menambah pendapatan keluarga.

Noraini adalah isteri pertama dikahwini Maarof pada tahun 2007, manakala, Effa Rizam pula genap lima tahun menjadi isterinya bulan Mei ini.

Melalui kedua-dua perkahwinan ini, Maarof tidak dikurniakan cahaya mata.

Maarof berkata, pada 2021, doktor mengesahkannya menghidap kencing manis selepas kaki sebelah kirinya membengkak digigit semut dan kembali pulih tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, katanya, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, doktor menasihatkan agar kaki kirinya dipotong bagi mengelak penyakitnya merebak ke bahagian lain.

Maarof berkata, dalam keadaan sekarang, dia sangat mengharapkan bantuan daripada orang ramai memandangkan kos perubatannya mencecah RM700 sebulan termasuk kos ulang-alik ke hospital dan klinik.

Sementara itu, Effa Rizam berkata, sekalipun kehidupan mereka sekeluarga sederhana, namun, itu bukan halangan untuk menikmati kebahagiaan.

"Ini pengorbanan kecil saya sebagai isteri, macam isteri pertama, dia tolong uruskan suami ketika saya keluar bekerja.

"Walaupun kami hidup sederhana, walaupun tidak mempunyai anak tapi kami tetap bahagia dalam kesederhanaan, bahagia cara kami," katanya.

Effa Rizam mengakui, pendapatan yang diterimanya tidak cukup untuk menampung mereka sekeluarga.

"Gaji saya dalam RM1,500 dan kena bayar sewa rumah lagi (RM400 sebulan), jadi susah jugaklah kehidupan kami," katanya yang mengakui tidak menerima bantuan lain daripada mana-mana pihak setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, penyelaras sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Amal Team Kuantan, Jamilah Salleh memaklumkan, nasib yang menimpa keluarga Maarof sudah dirujuk kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk tindakan susulan.

"Buat masa ini, Amal Team sudah memberikan bantuan awal setakat yang kita mampu, macam pek makanan, katil khas dan kerusi roda kepada keluarga Maarof.

"Selain itu, kita juga sedang berurusan dengan MUIP untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah seperti tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan air yang sedang dihadapi keluarga ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Maarof bersama isterinya, Noraini dan Effa Rizam boleh menghubungi talian 016-800 6507 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan pula boleh berbuat demikian melalui pindahan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional 11111 41000 296605 atas nama Maarof Noordin.