Dua warga tempatan ditembak mati dalam satu kejadian tembak menembak di antara polis dan dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di Kepong.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, kedua-dua suspek itu ditembak mati dalam operasi Op Cantas Khas 2.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah, kedua-dua suspek itu ditembak mati dalam operasi Op Cantas Khas 2 .
Mohd Adnan berkata sebelum itu pihaknya melihat sebuah kereta yang mencurigakan ketika menjalankan operasi dan pihak polis kemudian mengejar kenderaan berkenaan setelah cuba melanggar sekatan polis.

"Ketika kami mengejar, suspek menghimpit dan melanggar kereta peronda polis sebelum ia terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

"Apabila kereta mereka terbabas, suspek keluar dan berbalas tembakan dengan anggota polis sebelum kedua-dua mereka cedera dan rebah di atas jalan serta meninggal," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tambah beliau, pihak polis menemukan dua pucuk pistol yang satu daripadanya masih mempunyai enam butir peluru, 11 paket disyaki dadah, sembilan telefon bimbit dan sebuah beg dalam kereta berkenaan.

Hasil semakan polis juga mendapati suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes pembunuhan.