KUALA LUMPUR: Menganalisis bahan api dan minyak pelincir dalam masa yang singkat untuk digunakan kereta lumba pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas supaya enjinnya berada pada prestasi optimum antara cabaran utama sebagai Jurutera Bendalir Litar Petronas (PTFE).
Itu tugas digalas oleh dua rakyat Malaysia, Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten sepanjang tahun ini apabila mereka akan berada di 24 perlumbaan F1 di seluruh dunia bermula di Bahrain pada 2 Mac ini.
Wan Mohd Saifullah, 36, dilantik sebagai PTFE pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas sejak Mei tahun lepas, manakala Emil, 26, pula telah memulakan kerjaya itu pada Mei 2022.
Berkongsi karier itu kepada Bernama baru-baru ini, Wan Mohd Saifullah berkata, beliau dan Emil secara umum ditugaskan untuk melakukan sokongan teknikal dan analisis kimia terhadap kira-kira 150 sampel bahan api serta minyak pelincir yang digunakan kereta lumba F1 Mercedes-AMG Petronas sebelum dan selepas setiap perlumbaan.
Beliau berkata, analisis itu penting supaya ia mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selain memastikan keputusannya tepat yang dapat menyumbang kepada prestasi enjin kereta lumba F1 pada tahap optimum sekali gus mengurangkan kadar kesilapan yang berlaku pada setiap sesi latihan, kelayakan dan hari perlumbaan.
"Sebagai contoh, semasa kereta lumba F1 memanaskan enjinnya sebelum digunakan di litar, saya akan mengambil (analisis) sampel minyak pelincir yang digunakan dan daripada itu saya dapat tahu berapa kandungan logam tertentu yang ada dalamnya.
"Jika keputusan analisis lambat dan mendapati ada berlaku kerosakan, pasukan jurutera lain tidak dapat menukar ganti barang-barang yang rosak itu dengan secukup masa, dan jika ini berlaku ia akan menjejaskan kereta lumba F1 dalam keadaan terbaik pada hari perlumbaan," katanya.
Wan Mohd Saifullah berkata, setiap kali perlumbaan beliau perlu menjalankan analisis utama yang melibatkan bahan api Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium, minyak pelincir transmisi Petronas Tutela dan minyak hidraulik Petronas Tutela.
Selain itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Kelantan itu turut menganalisis serta mengurus minyak pelincir dan bahan api bagi pasukan F1 lain yang menggunakan enjin Mercedes seperti pasukan F1 McLaren, Aston Martin dan Williams.
"Walaupun perlu menyediakan keputusan analisis dengan cepat dan tepat, dengan disiplin berpasukan dan perancangan yang teliti, apa jua cabaran yang ditempuhi berjaya ditangani sekali gus menghasilkan keputusan yang positif kepada pasukan," katanya.
Sementara itu, Emil menyifatkan berada dan bekerjasama dalam pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia adalah peluang yang hanya datang sekali dalam seumur hidup.
"Sememangnya peluang yang seronok untuk saya bekerja dalam dunia kereta lumba F1. Saya bukan sahaja dapat belajar secara teknikal melalui pengalaman yang diperoleh di litar, tetapi juga teruja menjadi sebahagian dan melihat bagaimana budaya pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas beroperasi.
"Mereka sentiasa bersama berusaha untuk cemerlang dalam setiap perkara yang dilakukan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International (PLI), Hezlinn Idris berkata,Petronas telah menjalankan kerjasama teknikal dengan F1 Mercedes-AMG sejak 2010 dan telah berjaya menggondol lapan kejuaraan berturut-turut bagi kategori pengeluar.
Beliau berkata, sebelum Wan Mohd Saifullah dan Emil, tiga rakyat Malaysia telah melibatkan diri dengan pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas bermula dengan Ahmad Nasri Shafie pada 2018, En De Liow (2020) dan Dr Safwan Hanis (2022).
"Program pembangunan bakat Petronas telah membawa manfaat sebenar kepada dunia automotif yang membolehkan PTFE memperoleh pengalaman yang tidak ternilai melalui pendedahan mereka kepada dunia F1 yang berkembang pesat dan pantas.
"PTFE telah mengendalikan makmal kompak untuk aktiviti berkaitan bendalir pada perlumbaan di seluruh dunia bersama jurutera dan saintis yang terbaik dalam bidang itu, dan daripada pengalaman itu kami menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk kegunaan pengguna jalan raya," katanya. - BERNAMA
Bernama
Sat Feb 17 2024

Wan Mohd Saifullah (kanan) dilantik sebagai PTFE pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas sejak Mei tahun lepas, manakala Emil, 26, pula telah memulakan kerjaya itu pada Mei 2022. - Gambar Bernama
Pemimpin Qatar, Iran adakan perbincangan dua hala sokong rakyat Gaza
Pemimpin Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian ketika lawatannya ke Tehran pada Rabu.

Lelaki hilang ditemui mati lemas dalam kolam kelab golf
Mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam pada jarak 100m dari lokasi motosikalnya diparkir.

Donald Trump gelar Volodymyr Zelenskyy 'diktator'
Presiden Amerika gesa Presiden Ukraine bertindak segera capai perdamaian atau bakal kehilangan negara.

Tiga Olimpian ketuai cabaran ATC Putrajaya
ATC Putrajaya akan menyaksikan ketiga-tiga atlet berkenaan bersaing bersama 119 triatlet elit dari 20 negara.

Bahrain tekankan perpaduan dan kewujudan bersama dalam hal ehwal Islam
Bahrain juga komited memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

'Anak Malaysia' di Singapura rayu turunkan semula kes COVID-19
"Bantulah kami dengan hanya patuhi SOP (prosedur operasi standard)." Itu adalah rayuan 'Anak Malaysia' di Singapura yang turut terkena tempias apabila Malaysia mencatatkan peningkatan kes COVID-19 se

Ismail Izzani sampaikan sajak sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia
Sempena hari kanak-kanak sedunia, duta remaja Unicef, Ismail Izzani menyampaikan sajak nukilan Lily Jamaludin yang bertajuk Rain Drops.

'Ringan tangan beramal, pintu rezeki terbuka bagai air yang mengalir' - Mr Kentang
Kisah seorang aktivis sosial, Mr Kuan Chee Heng atau lebih popular dengan gelaran Mr. Kentang.