Dewan Rakyat tidak menerima notis saman Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen yang lain untuk mencabar pelantikan Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan timbalannya, Azalina Othman di Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat I, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, namun begitu, beliau menyerahkannya kepada proses undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

"Mengikut hemat saya, Tun bersama empat rakan yang lain boleh berbuat apa yang diinginkan dalam amalan demokrasi asalkan mengikut undang-undang yang termaktub," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mohd Rashid turut menambah yang beliau mengambil maklum perkara itu seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita tempatan.

Memetik laporan media sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu bersama empat ahli parlimen hari ini mengemukakan permohonan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Azhar Azizan dan Azalina di Dewan Rakyat.

Kesemua plaintif ialah ahli Parlimen yang disingkirkan daripada Bersatu.

Selain Mahathir, turut menyertai permohonan tersebut ialah ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Kelima-lima plaintif memfailkan saman pemula di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 petang hari ini dan dilakukan melalui firma guaman Law Practice of Rafique.

Menurut laporan itu, Azhar Azizan yang diundi menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu menjadi defendan pertama, manakala Azalina sebagai defendan kedua.

Seorang lagi timbalan Azhar, Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin masing-masing diletakkan sebagai defendan ketiga dan keempat.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pelantikan Azhar dan Azalina sebagai tidak sahih, melanggar Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan Tetap Dewan Rakyat.