Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) meminta kerajaan untuk mempertimbangkan semula larangan kemasukan terhadap warga asing dari 12 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang akan berkuat kuasa pada 7 September.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Siobhan Das dalam satu kenyataan hari ini berkata larangan itu akan menjejaskan ekspatriat yang mempunyai permit kerja yang sah di Malaysia seperti Pas Pekerjaan dan Pas Pelawat Profesional.

"Larangan kemasukan ekspatriat ini akan memberi kesan buruk kepada operasi beberapa pelabur terbesar di negara ini.

"Contohnya di sektor elektrik dan elektronik, sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara secara keseluruhan, larangan kemasukan ini menafikan akses syarikat bukan sahaja kepada eksekutif kanan tetapi tenaga pakar teknikal kritikal yang diperlukan untuk memastikan entiti yang berpangkalan di Malaysia dapat memenuhi permintaan rantaian bekalan global, "katanya.

Beliau berkata larangan kemasukan itu akan mengakibatkan kerugian berjuta-juta dolar secara langsung di peringkat perniagaan dan perdagangan.

Tanpa butiran lengkap berapa lama ia berkuat kuasa, Siobhan bimbang larangan itu akan memberi kesan jangka panjang kepada Malaysia sebagai negara yang boleh dipercayai untuk menjalankan perniagaan.

"Walaupun Malaysia telah menerima kemasukan pelaburan baru-baru ini, larangan baharu ini melemahkan kemampuan syarikat untuk menggunakan tenaga pakar yang diperlukan untuk mengatur, memasang dan mengiktiraf peralatan baharu yang diperlukan untuk memulakan atau memperluaskan operasi.

"Selain itu, turut terjejas ialah golongan pembuat keputusan global yang bekerja di Malaysia. Persekitaran perniagaan Malaysia yang tidak menentu akan mempengaruhi perbincangan ketika ini dan masa depan untuk pelaburan langsung asing," katanya.

Beliau berkata AMCHAM memahami keperluan untuk melaksanakan sekatan perjalanan untuk membantu mengekang penyebaran COVID-19 tetapi percaya perlu ada pendekatan yang dirancang dengan teliti terlebih dahulu dengan melakukan pemberitahuan awal dan jelas diberikan kepada orang ramai dan komuniti perniagaan.

Penguatkuasaan larangan terhadap warga asing berbanding lokasi pengembara ketika ini juga telah menimbulkan kekeliruan yang luar biasa dalam komuniti perniagaan kerana ia tidak mempunyai hubungan langsung dengan ancaman sebenar penyebaran COVID-19, katanya.

Daripada melaksanakan larangan kemasukan warga asing, beliau berkata kerajaan sepatutnya memberi perhatian terhadap menambah baik komunikasi dan proses imigresen ketika ini dan bekerjasama dengan komuniti perniagaan untuk mencapai sasaran bersama iaitu pemulihan ekonomi.

"Kami berpendapat bahawa Malaysia telah menangani wabak ini dengan baik dan pada masa ini terdapat kawalan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mencukupi. Kami berharap dapat bekerjasama untuk memperbaiki keadaan kita sekarang, "katanya.