ALOR SETAR: Bagai cahaya yang menyinari orang lain, semangat sebenar Deepavali ditunjukkan seorang suri rumah, P. Devika, 57, yang sanggup melepaskan peluang meraikan perayaan itu bersama anaknya hari ini, demi membantu seorang warga emas yang uzur dan terperangkap akibat banjir.

Devika berkata perancangan awal dia dan suami adalah untuk ke Kuala Lumpur bagi menyambut Pesta Cahaya bersama anaknya, namun ekoran bimbang akan keadaan Supiah Musa, 76, yang tinggal berseorangan di Taman Tanjung Bendahara di sini, mereka membatalkan hasrat tersebut.

"Kawasan rumahnya sudah dinaiki air sejak empat hari lepas, sebelum ini keadaan banjir cetek sahaja tapi hari ini air semakin naik, jadi sejak pagi tadi saya menguruskan untuk membawa Makcik Supiah ke rumah saya.

"Saya telefon APM (Angkatan Pertahanan Awam) untuk bantu pindahkan dia ke rumah saya selepas dapat kebenaran daripada anak angkatnya sebab saya bimbang dengan keadaan dia yang uzur dan tidak boleh bergerak, air pula semakin naik," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.



Devika yang tinggal di Taman Sultan Abdul Halim, iaitu kira-kira 1 kilometer dari rumah Supiah, berkata dia mengambil upah menjaga dan menguruskan warga emas itu sejak empat tahun lepas termasuk menyediakan makan tiga kali sehari.

Menurut Devika, Supiah yang menghidap kencing manis dan darah tinggi selain lumpuh separuh badan, tinggal bersendirian sejak suaminya meninggal dunia beberapa tahun lepas.

"Saya sangat kasihankan dia, jadi saya tak sambut Deepavali hari ini sebab saya tidak dapat menahan sedih melihat dia (keseorangan), jadi saya bawa dia balik rumah saya, nanti kalau air sudah surut saya hantar dia balik semula ke rumahnya," katanya.


Sementara itu, pegawai Bahagian Operasi dan Bencana APM Kedah Muhammad Hilmi Yaakob berkata pihaknya menerima panggilan untuk bantuan memindahan mangsa banjir yang uzur itu pada pukul 1 tengah hari tadi.

"Sebaik menerima panggilan itu kita menggerakkan sebuah pacuan empat roda dan sebuah ambulans dengan lima petugas ke lokasi berkenaan dan mendapati paras air di kawasan itu adalah sekitar 0.5 meter," katanya.

Katanya, banjir di kawasan itu berlaku disebabkan limpahan air Sungai Kedah yang menjejaskan beberapa rumah sejak empat hari lepas.

Setakat 4 petang ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah adalah seramai 932 orang daripada 262 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara di empat daerah.

-- BERNAMA