KUALA LUMPUR: Bagi seorang pendaki gunung tegar rakyat Malaysia, tiada yang lebih membanggakan apabila berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Itulah yang dirasai N. Elanghovan, 64, setelah berjaya melakukan pendakian hingga ke puncak Gunung Everest baru-baru ini, sekali gus menjadi rakyat Malaysia tertua berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.

Menurutnya, beliau berada kira-kira 10 minit di puncak gunung yang mempunyai ketinggian 8,849 meter itu dalam keadaan suhu sejuk dan cuaca berangin serta dingin melampau.

"Saya berasa seolah-olah berada di puncak dunia...ia merupakan detik paling berharga dan membanggakan dalam hidup saya. Seumpama menggondol pingat emas Sukan Olimpik," katanya.

Kejayaan yang dicipta itu sekali gus membolehkan beliau diiktiraf sebagai rakyat Malaysia tertua mendaki puncak Gunung Everest oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

 Pendaki Tertua Malaysia ke Gunung Everest, N. Elanghovan, 64, ketika ditemui di Seremban, baru-baru ini. - Foto BERNAMA



"Saya berasa sangat bangga memegang bendera Malaysia di puncak tertinggi dunia. Ia memberikan kepuasan yang amat mendalam selepas bertahun-tahun membuat persiapan dan latihan gigih untuk menawan puncak Gunung Everest," katanya kepada Bernama.

Lebih mesra disapa Elango, dia mengakui berasa amat penat ketika tiba ke puncak Gunung Everest.

"Keadaan cuaca berangin dan amat dingin membuatkan saya rasa terkedu... namun selepas beberapa minit, barulah saya sedari bahawa saya sedang berada di puncak tertinggi dunia.

"Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan mengenai perasaan saya ketika itu...sebelum ini saya berjaya menawan beberapa puncak dan bukit, tetapi pengalaman kali ini sangat unik dan berbeza berbanding kejayaan menawan puncak gunung yang lain," katanya.

Elango, merupakan sebahagian daripada pasukan ekspedisi tiga pendaki termasuk T. Ravichandran, 57, lebih dikenali sebagai Ravi Everest, berjaya menawan puncak Everest pada pukul 9.17 pagi waktu Nepal (11.32 pagi waktu Malaysia) pada 12 Mei lepas.

Elango berkata Malaysia, negara yang kaya dengan khazanah keindahan flora dan faunanya, seharusnya terus memelihara anugerah alam semula jadi ini demi generasi akan datang dan kesejahteraan rakyat.

"Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan biodiversiti, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dan berbangga dengan sumber yang ada di negara ini. Kita perlu melindungi hutan dan alam sekitar kita demi kelestarian sebagai cara menzahirkan patriotisme," katanya.

Elango berkata sepanjang pengalamannya mendaki dan menawan puncak gunung, rata-rata pendaki yang ditemui mempunyai pelbagai latar belakang dan budaya.

"Tetapi kami tetap mesra dan berkawan serta sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan memberi galakan sesama kita sehingga berjaya menawan destinasi atau puncak gunung tertentu," katanya.

Selepas kejayaan mendaki puncak tertinggi dunia yang terletak di benua Asia itu, Elango kini merancang untuk melengkapkan pendakian ke Seven Summits iaitu tujuh puncak daripada gunung-gunung tertinggi dari tujuh benua di dunia.

Beliau berjaya menawan Gunung Kilimanjaro di Afrika (5,895 meter) pada Ogos 2016.

Selepas ini, beliau berhasrat untuk menawan puncak Gunung Denali (6,194 meter) di Alaska, Amerika Utara; Gunung Aconcagua (6,961 meter) di Argentina, Amerika Selatan; Gunung Elbrus (5,642 meter) di Rusia, Eropah; Gunung Vinson Massif (4,892 meter) di Antartika dan Gunung Kosciuszko (2,228 meter) di Australia.

-- BERNAMA