Semua pihak tidak pernah mengambil kira kedudukan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu sendiri sebelum mengeluarkan apa sahaja kenyataan mengenai debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia sekali gus memanjangkan pelbagai pendapat yang berlegar di media sekali gus menimbulkan banyak spekulasi.

"Masalah kepada semua kenyataan di beri oleh banyak pihak, selain daripada Pandikar Amin ialah tidak mengambil kira PAC itu sendiri.

"Semua harus ingat PAC ada jawatankuasa Dewan Rakyat. Segala rekod prosiding adalah kepunyaan Dewan Rakyat. Ia tidak boleh didedah kepada sesiapa melainkan sudah di bentang di Dewan Rakyat dan dengan persetujuan Yang Di Pertua," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Khamis, Arul menegaskan pendiriannya akan hanya berdebat selepas prosiding PAC mengenai 1MDB selesai.

Katanya, integriti PAC perlu dihormati dan sebarang debat hanya boleh dijalankan selepas selesai prosiding PAC.

Terdahulu, Pakatan Harapan menawarkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pengganti Pua untuk berdepan Arul.

Dalam pada itu kata Dr Wan Junaidi, persoalan-persoalan yang di bangkit Pua di debat atau sesi soal jawab itu akan juga di bangkit dalam siasatan PAC dan jawapan di beri oleh Arul adalah jawapan yang di beri dalam siasatan PAC.

"Kalau ada percanggahan, ia adalah penghinaan kepada Parlimen.

"Maka proses itu akan menjadi siasatan PAC ke atas 1MDB yang tunduk kepada satu debat politik. Bukankah ini juga sebagai penghinaan kepada PAC dan Parlimen sendiri?

"Jadi dengan itu untuk mengelak penghinaan kepada PAC dan Parlimen maka apa yang diisytihar Pandikar Amin adalah tepat dan betul," jelasnya.

Sebelum ini Pandikar Amin terpaksa membuat keputusan berhubung debat 1MDB disebabkan langkah yang diambil kerajaan untuk merealisasikan acara tersebut.

Katanya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan Peraturan 85 dalam Dewan Rakyat di mana tiada ahli yang terlibat dalam mana-mana jawatankuasa di Parlimen boleh membuat kenyataan atas kapasiti individu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penyelesaian kes 1MDB paling pelting pada masa ini.

"Sejak awal lagi saya rasa tidak perlu debat, tetapi demi hendak membetulkan persepsi ia harus dijawab namun bukan dalam bentuk debat.

"Debat tidak akan menyelesaikan segala masalah. Penyelesaian kes 1MDB itu lebih penting," ujarnya.

Mas Ermieyati juga merupakan salah seorang bekas ahli PAC.