Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Suasa Airlines Sdn Bhd Isnin lalu selepas mendapati syarikat itu beroperasi sebagai penerbangan komersial tanpa permit yang sah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Suasa Airlines pernah memohon permit perkhidmatan penerbangan (Air Service Permit) dari Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) namun ditolak.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan persidangan bersama International Civil Aviation Organization (ICAO) dan World Customs Organization (WCO) di sini hari ini, berkata alasan Mavcom untuk menolak permohonan tersebut masih di dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Walaupun hanya mempunyai permit kelulusan teknikal dari DCA, Suasa Airlines meneruskan operasi penerbangan dan menawarkan khidmat komersial dengan menggunakan nama Monspace Sky Airlines pada 22 Julai lalu.

Ia beroperasi dengan membawa penumpang yang dikenakan caj penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Langkawi, Kedah.

"Bagi penerbangan dari KLIA ke Langkawi, Suasa Airlines hanya memohon permit penerbangan demonstrasi dari DCA yang diluluskan. Namun mereka membuat penerbangan komersial dengan membawa penumpang dan telah melanggar undang-undang.

"Mavcom dan Polis Diraja Malaysia sudah memulakan sisasatan masing-masing ke atas Suasa Airlines dan Monspace Sky Airlines sejak semalam.

"Saya memandang serius perkara ini kerana mereka telah melanggar undang-undang penerbangan dengan jelas," katanya.

Apabila ditanya mengenai penumpang yang terlibat di dalam penerbangan tersebut, Liow berkata siasatan masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang kenyataan.

Suasa Airlines telah dilancarkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 22 Julai lalu dalam sebuah acara besar-besaran yang dihadiri ramai selebriti tempatan.

Ketika ini, syarikat tersebut dikatakan mempunyai sebuah pesawat Boeing 737-400 yang dibeli daripada Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Sementara itu, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dalam kenyataannya semalam berkata Suasa Airlines hanya menerima permit perkhidmatan udara (ASP) sementara pada 15 Disember 2015.

BACA: Suasa Airlines perlu dapatkan permit perkhidmatan udara penuh sebelum beroperasi - DCA

Namun tiada ASP penuh dikeluarkan kepada syarikat itu setakat ini.

Menurut Azharuddin, pihaknya mengeluarkan sijil pengendalian udara (AOC) kepada Suasa Airlines pada 22 Julai lalu.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak mengeluarkan sebarang AOC kepada Monspace Airlines atau Monspace Sky Airlines.

Beliau berkata pesawat Suasa Airlines dilabel dengan Monspace Airlines menyebabkan AOC tidak boleh terpakai. Berikutan itu, DCA mengeluarkan arahan supaya Suasa Airlines menjelaskan perkara berkenaan.