Ringkasan AI
- Operasi KL Strike Force oleh DBKL menggempur beberapa hotel yang dikendalikan warga asing di Kuala Lumpur, mengenal pasti empat hotel beroperasi tanpa lesen sah.
- Tiga hotel ditutup serta-merta di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003, sementara premis lain dikenakan tindakan termasuk Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan dan Notis Tawaran Kompaun.
- DBKL bertekad memastikan premis perniagaan beroperasi secara sah dan mengekang penguasaan warga asing dalam sektor perhotelan tanpa kebenaran, serta menggalakkan orang awam melaporkan premis mencurigakan.
Susulan pemantauan selama hampir seminggu, dalam operasi pada malam tadi, DBKL mengenal pasti empat buah hotel beroperasi tanpa lesen sah dan dikendalikan individu bukan warganegara.
"Tiga daripadanya ditutup serta-merta di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003, sementara premis lain dikenakan tindakan tegas.
"Ini termasuk Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan dan Notis Tawaran Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016," ujar DBKL dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.
Serbuan DBKL ini membuktikan komitmen DBKL dalam memastikan premis perniagaan di ibu kota beroperasi secara sah serta mengekang penguasaan warga asing dalam sektor perhotelan tanpa kebenaran.
"Tindakan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang," tegas pihak berkuasa tempatan itu lagi.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai premis mencurigakan boleh melaporkan kepada DBKL menerusi pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. - Sinar Harian
