Beliau berkata dasar berkenaan dicadang untuk dikuatkuasakan bermula tahun ini hingga 2035 dengan mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku serta langkah yang lebih proaktif untuk mengurangkan sebarang kejadian seperti tanah runtuh.
"Kita mesti ada satu dasar kebangsaan tentang cerun. Kita tidak mengambil ringan sebab kesannya merugikan. Akibatnya harta benda boleh terjejas dan nyawa pun boleh hilang," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Mengenang Negarawan: Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng, Negarawan Terbilang di sini hari ini.
Nanta berkata kementeriannya juga telah mengenal pasti cerun mudah runtuh di lebih 1,000 lokasi di seluruh negara dan langkah telah diambil untuk memasang peralatan bagi memantau pergerakan tanah di kawasan-kawasan terbabit.
"Memang ada JKR (Jabatan Kerja Raya) dari dulu pun sentiasa memantau dan mendapati ada beberapa lokasi mungkin mudah terjadi masalah (tanah runtuh) itu. Jadi untuk mengambil langkah yang lebih proaktif, kita memantau dengan lebih rapi," katanya.
-- BERNAMA