Ringkasan AI
- Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A mencapai 77.41% dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
- Empat daripada 15 pakej kerja telah siap, baki 11 pakej dalam pembinaan, dengan masalah koordinasi dan kekurangan dana sebagai punca kelewatan.
- Fasa 1B dalam proses tender terbuka, dan tindakan segera akan diambil untuk menguruskan insiden banjir di kawasan pembinaan.
Beliau berkata sebanyak empat daripada keseluruhan 15 pakej kerja dalam fasa itu telah disiapkan, manakala baki 11 pakej dalam proses pembinaan.
"Fasa 1A ini sepatutnya sudah siap tetapi kita sedia maklum banyak masalah, jadi ada juga hampir jadi projek sakit. Sebab itu Fasa 1A ini jauh sudah melangkaui garis masa sepatutnya siap. Sekarang ini selewat-lewatnya siap 2026, banyak faktor beri kesan kepada garis masa kita.
"Kos (pembinaan) terlibat saya tidak nyatakan tepat, tetapi kita tengok apa spesifik masalah... ada layak dituntut, ada tidak layak," katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan kerja pembinaan lebuh raya itu di sini hari ini.
Terdahulu beliau meninjau kemajuan pembinaan pakej kerja Sindumin-Kampung Melalia, Kampung Melalia-Beaufort, dan Putatan-Inanam yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Nanta berkata beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A seperti masalah koordinasi antara pihak terlibat dengan projek itu terutama kontraktor, agensi kerajaan dan konsultan.
"Kita faham masing-masing ada kelemahan, jadi saya sudah berbincang dengan Menteri Kerja Raya Sabah (Shahelmey) supaya kita sama-sama tangani masalah ini, selain mesyuarat koordinasi kerap diadakan," katanya.
Beliau berkata terdapat juga masalah kekurangan dana daripada kontraktor terlibat kerana mereka mendakwa lambat menerima tuntutan, namun hasil semakan mendapati kontraktor terbabit gagal mengemukakan dokumen lengkap ketika membuat tuntutan itu dan perkara berkenaan sedang diatasi.
Berkaitan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B pula, Nanta berkata pakej kerja terlibat kini dalam proses tender terbuka dan berharap surat setuju terima kepada syarikat yang berjaya dalam tender itu akan diselesaikan selewat-lewatnya September tahun ini.
Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan tinjauan itu juga memfokuskan kesinambungan usaha kementerian itu dalam menguruskan insiden banjir di Sabah baru-baru ini terutamanya di Penampang berdekatan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A di sini.
Menurut kenyataan itu, antara punca utama insiden banjir termasuk taburan hujan luar biasa menyebabkan sungai berhampiran tidak mampu menampung kapasiti air, selain sistem perparitan luar hak lalu-lalang Jalan Persekutuan yang kurang sempurna.
"Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pihak Berkuasa Tempatan akan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku banjir di kawasan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengurangkan kesan buruk kepada penduduk dan projek itu," katanya.
-- BERNAMA