Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini menafikan dakwaan terdapat dua kes jangkitan novel koronavirus 2019 dikesan di Forest City, Gelang Patah, dekat sini, seperti yang tular dalam laman sosial Facebook.

JKNJ menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkata laporan itu tidak benar sama sekali dan satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

"Orang awam diminta supaya tidak menyebarkan, viral (berita) yang tidak sahih ini kerana akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat," kata JKNJ menerusi laman berkenaan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 250 nyawa

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya telah menerima laporan tersebut dan sedang mengesan pemilik akaun Facebook bernama "Haziq Fahami" untuk membantu siasatan berhubung penularan maklumat palsu berkenaan.

Mohd Kamarudin berkata laporan tersebut dibuat oleh seorang pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata justeru pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sedang mengesan pemilik akaun Facebook tersebut bagi membantu siasatan.

"Orang ramai tidak seharusnya menyalahgunakan aplikasi media sosial untuk memuat naik ataupun menularkan sebarang posting atau komen palsu yang akan menggugat ketenteraman awam," katanya.

-- BERNAMA