Ini berikutan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) dengan Forest City Country, pemaju induk Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) yang membangunkan projek itu meliputi Studio Produksi K-Content, Daerah Kebudayaan Antarabangsa dan pembangunan kediaman bertaraf dunia.
Pengarah Eksekutif CGPV Datuk Md Othman Yusof berkata MoA itu menandakan satu peristiwa penting dalam pembangunan berterusan di Forest City, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab global untuk inovasi, budaya dan pertumbuhan mampan.
"MoA ini bukan sekadar perjanjian rasmi, ia mencerminkan visi bersama kami untuk Forest City dan kami teruja untuk bekerjasama dengan GG56 Korea bagi merealisasikan projek-projek transformatif ini.
"Kita secara bersama-sama akan membina sebuah bandar yang menjadi bukti kepada inovasi, budaya, dan pembangunan lestari," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Md Othman bagi pihak CGPV manakala GG56 Korea diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Kim Young Kun dan Chung Dong Wan, Pengerusi CMK Consortium iaitu anak syarikat GG56 Korea.
Sementara itu, Kim berkata perjanjian berkenaan akan memberi peluang kepada syarikat dari Korea itu mencipta sesuatu yang luar biasa di Forest City.
"Melalui kerjasama dengan CGPV ini, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada pertumbuhan di Forest City dan menjadikannya sebagai destinasi global terkemuka," katanya.
Forest City adalah sebuah projek perbandaran berwawasan di Johor Bahru. Ia dibangunkan untuk menjadi sebuah bandar pintar, hijau, dan lestari yang mengintegrasikan ruang kediaman, komersial dan industri dengan teknologi dan infrastruktur termaju.
GG56 Korea ialah firma pelaburan dengan menumpukan kepada projek-projek berimpak tinggi dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, hiburan, teknologi dan hartanah.
-- BERNAMA