Orang ramai boleh mendapatkan daging lembu pada harga istimewa melalui program 'Mantai Ramadan' anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan selama dua hari mulai Isnin ini di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Paroi, KM 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat sini.

Pengarahnya A. Rahaman Suleiman hari ini berkata pada program itu harga daging lembu akan dikurangkan RM3 setiap kilogram iaitu lebih rendah dari harga pasaran sementara stok masih ada.

Harga daging lembu di negeri ini sekitar RM22 dan RM24 sekilogram.

"Mantai Ramadan ini akan diadakan mulai 4 petang hingga 11 malam pada hari berkenaan," katanya di sini.

Mantai adalah perkataan dalam dialek Negeri Sembilan yang bermaksud persediaan daging sembelihan sehari sebelum Ramadan atau Syawal.

Sementara itu, katanya, Fama turut menganjurkan Bazar Ramadan di tempat yang sama sepanjang Ramadan mulai 10 Julai hingga 7 Ogos.

Katanya Bazar Ramadan yang dibuka mulai 4 petang hingga 11 malam itu bagi memenuhi keperluan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa dan persiapan sambutan Aidilfitri.

Katanya Fama juga akan mengadakan program pasar tani khas praRamadan di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson pada Selasa ini (9 Julai) mulai pukul 8 pagi.

"Orang ramai boleh datang untuk membeli-belah pelbagai barangan keperluan harian pada program tersebut," katanya.