Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berjaya melaksanakan ibadah korban melibatkan 2,783 ekor lembu dan mengagihkannya kepada lebih 140,000 penduduk di kawasan perkampungan di Arakan, Myanmar yang majoritinya pelarian Rohingya.

Pengurus Besar Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Nor yang juga Ketua Misi Qurban Mudah 2019 berkata pengalaman selama seminggu di kawasan tersebut begitu menyentuh hati apabila penduduk yang dijamu dengan masakan daging lembu itu menganggap ia juadah paling mahal pernah dinikmati mereka.

"Sambil mengucapkan terima kasih, mereka juga tanpa henti berkata amat bersyukur dengan apa yang dinikmati kerana bagi mereka itu menu paling mewah yang dirasai tahun ini.

"Kami lihat tangisan kegembiraan penduduk di Arakan ini kerana selama ini mereka diabaikan dan tidak dipedulikan dalam aspek bantuan kemanusiaan," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis dari Yangon bersama enam lagi sukarelawan misi itu.

Penyumbang terbesar ternakan bagi misi tahun ini adalah umat Islam di Malaysia manakala selebihnya disumbangkan oleh individu dari Indonesia, United Kingdom dan Kanada, katanya.

Pada tahun lepas, sebanyak 120 ekor lembu dikorbankan dalam misi yang sama.

Mohd Hakim dalam pada itu berkata mereka terpaksa memendekkan tempoh berada di Arakan setelah dinasihatkan oleh pihak kedutaan Malaysia atas faktor keselamatan.

-- BERNAMA