TUMPAT: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menempatkan dua pam air berkapasiti tinggi di kawasan penanaman padi seluas 424 hektar di Kampung Simpangan dan Kampung Tualang di sini sebagai persediaan menangani kekurangan bekalan air ketika musim panas ini.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA Mohd Razif Abdullah berkata usaha tersebut dilakukan bagi membantu mengelakkan petani menanggung kerugian apabila tanaman padi yang diusahakan rosak akibat kemarau.

"Seramai 14 petani yang mengusahakan tanaman padi di sini mengalami kerugian besar pada musim lepas kerana ketiadaan sumber air untuk disalurkan ke tapak pertanian menyebabkan padi yang ditanam rosak.

"Sehubungan itu, KADA dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan dua pam bagi menyedut air dari Sungai Raut kira-kira empat kilometer dari bendang sebagai persediaan tanaman padi musim depan yang akan bermula Jun ini," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau yang melakukan tinjauan di kawasan tanaman padi berkenaan, berkata dua pam yang disediakan itu dijangka mampu mengairi kira-kira 300 hektar sawah sekali gus mengatasi masalah ketiadaan sumber air.

Sementara itu, Che Amat Che Hasan, 66, berkata penyediaan pam tersebut diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pesawah sepertinya yang kerugian lebih RM20,000, selain terpaksa menanggung hutang pertanian yang lain.

"Sebelum ini saya mengusahakan sawah padi seluas kira-kira 10 hektar, tetapi nasib tidak menyebelah apabila semua hasil tanaman rosak kerana kekurangan sumber bekalan air akibat musim kemarau," katanya.

Seorang lagi petani yang mengusahakan kira-kira 80 hektar padi di Kampung Simpangan, Mohd Ridzuan Che Lah, 51, berkata beliau tidak menyangka akan mengalami kerugian besar buat pertama kali sejak mengusahakan tanaman padi lebih 30 tahun lepas.

Terdahulu. Pengurus Besar KADA Mohd Faizul Mustafa berkata sejumlah 7,800 hektar daripada keseluruhan 26,833 hektar tanaman padi di bawah KADA, terjejas ekoran cuaca panas dan kemarau yang berlaku di Kelantan tahun ini membabitkan jajahan Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.

-- BERNAMA