Sehingga Khamis, Maghribi telah mencatatkan 708 kes positif wabak COVID-19 dengan 44 kematian dilaporkan di negara itu.

Meskipun peratusan individu yang dijangkiti hanya kira-kira hanya 22.7 peratus berbanding jumlah kes di Malaysia, namun kadar kematian di negara utara Afrika itu jauh mengatasi Malaysia.

Kadar kematian Malaysia setakat Khamis berada pada paras 1.6 peratus berbanding Maghribi yang menyaksikan hampir empat kali ganda lebih tinggi iaitu pada paras 6.21 peratus.

Situasi ini tentunya mengundang kebimbangan mengenai keadaan rakyat Malaysia terutamanya pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di negara itu.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Maghribi, Abdullah Zawawi Mohd Zawawi ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan kesemua pelajar Malaysia kini berada dalam keadaan selamat dan baik meskipun perintah berkurung telah dikenakan di negara itu.

Malah katanya, pengajian atas talian di semua universiti di negara itu juga dibuka dan berjalan seperti biasa.

"Di sebalik kekangan ini, kami berharap semua pelajar dapat menamatkan pengajian pada waktu yang sepatutnya," katanya pada Jumaat.




Sementara itu rakannya, pelajar sarjana muda di Universiti Mohammed (V) di Rabat, Abdullah Shuib, memberitahu kerajaan Maghribi bertindak pantas dengan menutup semua pusat pembelajaran termasuk universiti dan sekolah pada 16 Mac lalu, sebaik sahaja wabak itu mula menular masuk ke negara itu.

"Empat hari kemudian, kerajaan (Maghribi) melaksanakan perintah berkurung dengan semua penerbangan domestik dan luar negara tidak dibenarkan melakukan penerbangan," jelasnya.

Perintah berkurung itu katanya, turut menyaksikan semua masjid dan kedai makanan ditutup.

Pun begitu katanya, Kedutaan Malaysia di Maghribi menyediakan bantuan pengangkutan kepada pelajar Malaysia yang mahu keluar membeli barangan keperluan asas.

Dalam pada itu, Mohd Faiz Azhar Mohd Fauzi yang merupakan seorang editor modul Islam berkata, ramai rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di beberapa wilayah di negara itu.






"Ada yang terkandas hampir dua minggu hingga 20 hari. Jadi mereka terpaksa menyewa hotel atau rumah penginapan memandangkan semua penerbangan keluar masuk ke negara itu dibatalkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak Kedutaan Malaysia di Rabat sedang berusaha mengesan mereka dan membantu untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.