Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan itu, bagaimanapun, terkawal dan tidak membimbangkan.
"Subvarian XBB yang jadi punca gelombang di Singapura baru-baru ini dan mengambil masa kira-kira empat minggu untuk turun… barangkali, kita juga berdepan perkara yang sama.
"Kita kesan empat kes di bawah penjujukan genom oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Saya sudah minta lebih banyak kes penjujukan genom dilaksanakan.
"Bilangan penjujukan genom menurun kerana ia sebenarnya hanya dapat dibuat dengan berkesan melalui RT-PCR dan kita tahu tak ramai yang buat TR-PCR sekarang," katanya dalam sidang media, pada Isnin.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata beliau, sangat mengesyorkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan sesak selain pengambilan booster (suntikan penggalak) kedua bagi mereka yang berisiko tinggi serta petugas barisan hadapan termasuk mereka yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Booster kedua kadarnya masih rendah, jadi kita harap rakyat Malaysia yang belum terima booster kedua boleh dapatkan. Tidak ada paksaan, hanya ia kemudahan yang kita sediakan.
"Setakat hari ini hanya 519,839 orang sahaja yang ambil booster kedua, KKM galakkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas dan yang ada masalah kesihatan atau sistem imun lemah serta ibu mengandung dan petugas barisan hadapan untuk ambil booster," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Khairy menyeru pemimpin dan parti politik agar menunjukkan teladan yang baik serta mengamalkan langkah keselamatan yang perlu semasa berkempen.
"Tunjuklah teladan baik, kalau pergi ke kawasan tertutup, ada warga emas atau lawatan rumah ke rumah, jumpa pesakit terlantar, pakai pelitup muka.
"Kalau adakan ceramah di dewan dan dewan pula penuh, parti politik dan penganjur digalakkan buat pengumuman, minta orang ramai pakai pelitup muka.
"Kita tidak mahu PRU15 dijalankan dengan banyak sekatan tetapi kenalah ambil nasihat KKM," katanya sambil memaklumkan sudah menghantar syor kepada SPR berhubung langkah keselamatan pada hari mengundi.