GUA MUSANG: Susunan 10 batu marmar yang dihiasi dengan ukiran zikir dan potongan ayat al-Quran di Persimpangan Bendahara, kini menjadi tarikan baharu pengunjung yang melalui bandar ini.

Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata batu seberat 100 metrik tan tersebut memberi imej baharu kepada kawasan tersebut, sambil mempromosikan batu marmar asli bermutu tinggi yang terdapat di jajahan itu.

"Sebagai pintu masuk ke negeri Kelantan, kami berusaha menceriakan bandar Gua Musang dengan mercu tanda unik yang boleh dikenang oleh pengguna jalan raya dan pengunjung," katanya ketika ditemui pemberita di Persimpangan Bendahara, baru-baru ini.

Menurutnya ramai tidak menyangka bait-bait zikir dan potongan ayat pendek al-Quran yang terukir pada batu marmar tersebut dihasilkan secara ketepatan tangan oleh seorang pelukis yang dibawa khas dari Golok, Thailand.

"Ia merupakan antara keunikan mercu tanda ini, selain penggunaan bahan dan cara susunannya," katanya.

Susunan 10 batu marmar yang dihiasi ukiran zikir dan potongan ayat al-Quran di Persimpangan Bendahara kini menjadi tarikan baharu bagi pengunjung yang melalui Gua Musang. --fotoBERNAMA

Nik Raisnan berkata kesemua batu marmar itu berasal dari Kampung Star, Gua Musang, dan pembinaannya adalah hasil usaha sama Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan syarikat pengeluar batu marmar serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Mercu tanda ini juga diharapkan dapat membantu pengguna jalan raya yang melalui persimpangan ini memperoleh pahala melalui bacaan zikir yang terukir di batu-batu tersebut," katanya.

Projek mercu tanda bermula pada Mei lalu dan selesai sepenuhnya pada September.

-- BERNAMA